JAKARTA: Fenomena El Nino telah menyebabkan hampir 900 hektar sawah di Jawa Barat dilanda kemarau, sekali gus mengakibatkan kekurangan hujan dan air.

Menurut Setiausaha Pejabat Pertanian Cirebon, Nanang Ruhyana, kawasan terjejas diunjurkan meningkat daripada 500 hektar bulan lepas kepada 1,629 hektar.

"Keluasan sawah padi sekarang adalah seluas 22,137 hektar, dengan 878.5 hektar sudah dilanda kemarau," katanya seperti dipetik portal berita BeritaSatu.

Beliau berkata pihaknya kini menumpukan kepada langkah pengurusan air iaitu meningkatkan sumber air sedia ada dan meneroka sumber baharu.

Selain itu, pihaknya turut menyediakan peralatan penting yang diperlukan dan telah mencadangkan pembenihan awan sebagai langkah untuk mengurangkan kesan berterusan.

Cirebon yang terletak di utara Jawa Barat berdepan kesan paling teruk pada musim kemarau yang berpanjangan, dengan tiada hujan dilaporkan dalam tempoh tiga bulan lalu.

Ini mengakibatkan puluhan ribu penduduk di 15 buah kampung bergelut untuk mendapatkan bekalan air bersih.

Di Subang, Jawa Barat, turut dilanda isu kemarau dan kekurangan air bersih menyebabkan penduduk dan pegawai kerajaan mengadakan Istisqa atau solat hajat memohon hujan.

Hampir keseluruhan kawasan di Subang, kira-kira 95 kilometer dari Cirebon, berdepan risiko tanaman tidak menjadi akibat kemarau berpanjangan dan kebakaran hutan yang kerap berlaku.

-- BERNAMA